HUKUM-HAKAM SEKITAR DUIT RAYA ANAK
Assalamualaikum dan apa khabar semua.
Niat asal ialah untuk meluncurkan penulisan pertama awal May. Tapi, saya baru sahaja direzekikan dengan kelahiran cahaya mata ketiga pada 24 April lepas. Maka tak sempat nak finalize penulisan. Tapi tak mengapalah, Alhamdulillah semuanya sudah lancar dan saya dapat kongsikan tulisan pertama ini dengan tuan-puan semua!
Masih dalam bulan syawal ini, jadi saya pilih tema berkaitan Raya iaitu berkaitan DUIT RAYA ANAK.
Amalan memberi duit raya ini bukanlah satu amalan yang universal di kalangan Umat Islam yang menyambut Aidilfitri di seluruh dunia.
Tapi, ianya juga tak eksklusif kepada Malaysia sahaja. Di Indonesia juga amalkan budaya ini. Brunei pun sama. Malah, negara Arab seperti Qatar pun ada amalam “Eid Money” ni (rujuk Eid traditions in Qatar | Visit Qatar)
Tapi di Malaysia, budaya letak duit raya dalam sampul macam ‘Angpow’ orang kata dipengaruhi oleh tradisi orang Cina.
Sebenarnya, terdapat juga athar (bukti) para salafossoleh mengamalkan pemberian sedakah ketika Hari Raya.
Tak kisahlah budaya itu datang dari mana, selagi tidak bercanggah dengan hukum Syariah, maka dibolehkan. Ini kaedah asas dalam beragama dalam perkara yang berkaitan dengan muamalat:
الأصل في المعاملات الإباحة
(Hukum) asal dalam perkara muamalat itu adalah dibolehkan.
Sekecil budaya ini pun, sebenarnya banyak aspek hukum-hakam kita boleh bincangkan. Antaranya:
Hukum pemberian duit raya
Hukum menerima duit raya
Hukum menggunakan duit raya anak oleh ibu-bapa
Hukum pinjam duit raya anak
Hukum zakat duit raya anak
HUKUM BERI DUIT RAYA
Secara asasnya, duit raya ini adalah satu akad tabarru’at. Takyif fiqhi nya ianya satu bentuk Hadiah. Dalam fiqh hadiah didefinisikan sebagai suatu pemberian atas dasar memuliakan dan kasih sayang.
Secara logiknya, sudah tentu hukum memberi duit raya ini Harus dan dapat pahala. Tapi tahu tak yang hukumnya boleh juga jadi wajib, atau haram! Ya, betul.
Hukum beri duit raya adalah Wajib apabila seseorang Muslim itu ada bernazar untuk melaksanakan perbuatan itu. Apa itu nazar? Definisi Nazar dalam Syariah ialah menyanggupi untuk melakukan ibadah (qurbah; mendekatkan diri kepada Allah) yang bukan merupakan perkara wajib (fardhu ‘ain) bagi seseorang.
Amalan beri hadiah duit raya ini termasuk perkara ibadah yang tidak wajib. Tapi apabila dinazarkan, maka hukum memberinya jatuh wajib.
Hukum memberi duit raya juga boleh jadi Makruh. Ini terjadi bila lepas kita bagi duit raya tu, kita ungkit berdalilkan ayat Quran berikut:
Wahai orang-orang beriman, jangan lah kamu merosakkan sedekah kamu dengan menbangkit-bangkitkan dan menyakiti…
Terakhir, hukum memberi duit raya juga boleh jatuh Haram sekiranya:
1- Tujuan pemberian itu adalah sebab menunjuk-nunjuk (riya)
2- Duit raya yang diberikan itu datang daripada sumber yang haram.
TERIMA DUIT RAYA PUN ADA BANYAK HUKUM KE?
Nah. Bagaimana pula dengan hukum menerima duit raya? Ada pecahan jugakah? Jawapannya… ya.
Dalam kebanyakan situasi, hukum menerima duit raya itu sudah tentulah Harus.
Tapi ada satu keadaan di mana ianya unik sikit iaitu apabila dimaklumi bahawa si pemberi itu mempunyai harta yang bercampur antara yang halal dan haram.
Berdasarkan pendapat Jumhur ulama Syafiiyah dan Hanabilah, adalah harus tetapi makruh menerima hadiah daripada orang yang mempunyai harta bercampur dengan harta haram dengan syarat mestilah kita tak dapat pisahkan atau bezakan antara harta haram dan halal milik pemberi tersebut.
SEKITAR PENGGUNAAN DUIT RAYA ANAK OLEH IBU BAPA
Persoalan lain yang sering dibincangkan berkaitan duit raya ini ialah hukum duit raya anak digunakan oleh ibu bapa.
Ibu bapa dianggap sebagai wali atau pemegang amanah kepada harta anak yang belum cukup umur serta belum mencapai tahap rusyd (kematangan dalam menguruskan harta).
Jumhur fuqaha’ dalam mazhab asy-Syafie, Hanafi, dan Maliki berpendapat bahawa ayah tidak dibenarkan mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang benar-benar diperlukan. (Mughni al-Muhtaj, Hasyiyah Ibn ‘Abidin, Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir).
Mereka merujuk kepada keumuman hadith Nabi SAW yang menyatakan bahawa tidak boleh mengambil harta orang lain secara sewenang-wenang. Hadith tersebut menyatakan:
فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا
Maksudnya:"Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini” (Riwayat al-Tirmizi 2159)
Mereka juga bersandarkan kepada beberapa hadis antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Umarah bin ‘Umair RA, ibu saudaranya pernah bertanya kepada Sayyidatina Aisyah RA:
فِي حِجْرِي يَتِيمٌ أَفَآكُلُ مِنْ مَالِهِ فَقَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَوَلَدُهُ مِنْ كَسْبِهِ
Maksudnya: Dalam rumahku (jagaanku) terdapat seorang anak yatim, adakah boleh aku memakan sebahagian daripada hartanya? Aisyah RA menjawab, sabda Nabi SAW: Sesungguhnya makanan terbaik yang dimakan oleh seorang lelaki ialah hasil usahanya, dan anak seseorang itu adalah termasuk daripada hasil usahanya.
(Riwayat Abu Daud)
Para fuqaha’ dalam mazhab Hanbali berpendapat sebaliknya, bahawa seorang ayah berhak untuk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil atau sudah besar, dengan syarat-syarat berikut:
Tidak memberi mudarat kepada anak
Tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluan anak
Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain
Mereka berhujah dengan hadith Nabi SAW yang diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah RA, yang mengisahkan seorang lelaki yang memiliki harta dan anak, lalu ayahnya ingin mengambil hartanya. Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه, أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ
Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu”
Riwayat Ibn Majah (2291)
Namun, para ulama memberikan penjelasan lanjut mengenai huruf "lam" pada perkataan (لأَبِيكَ) dalam hadith tersebut. Mereka berpendapat bahawa huruf "lam" tidak bermaksud pemilikan mutlak, tetapi membawa maksud keharusan menggunakan harta tersebut
Ibn al-Qayyim al-Jauziah Rahimahullah menyatakan: “Huruf "lam" dalam hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ) tidak bermaksud pemilikan mutlak. Sesiapa yang mengatakan bahawa huruf "lam" membawa maksud keharusan menggunakan harta tersebut, maka pendapat ini lebih menepati makna hadith. Jika tidak, maka hilanglah faedah dan makna hadith tersebut.
Jadi, apakah solusi terbaik dalam masalah guna duit raya anak ni?
Marilah kita bersandarkan penerangan yang telah dibuat oleh Mufti Selangor seperti berikut:
Duit raya anak yang diberikan kepada anak adalah hak dan milik anak. Manakala ibu bapa bertindak sebagai pemegang amanah. Hukum ibu bapa menggunakan duit raya anak boleh disimpulkan kepada tiga keadaan:
Harus digunakan untuk maslahat anak dan tidak perlu digantikan.
Harus digunakan untuk tujuan peribadi ibu bapa walaupun tanpa izin anak sekiranya ibu bapa dalam keadaan terdesak dan memerlukan namun ia terhad kepada kadar keperluan sahaja tanpa bermewah-mewah.
Harus digunakan duit tersebut untuk tujuan peribadi walaupun ibu bapa tidak berada dalam keadaan terdesak, namun ia berstatus qard (pinjaman) dan perlu digantikan semula.
Jadi, kalau mereka yang bukan orang “have-have” boleh saja belikan basikal anak guna duit raya anak, tanpa perlu ganti. Yang tak boleh kalau beli roadbike untuk bapaknya guna duit raya anak!
Kalau dah terguna duit raya anak pun beli sport rim kereta, gantilah duit itu semula sebab hukumnya dah jadi hutang. Hutang wajib bayar walaupun kepada anak sendiri. Cuma kalau boleh elakkanlah takut takut menzalimi anak itu sendiri kalau tak dapat nak bayar semula.
Yang terakhir….. perlu zakat ke tidak duit raya anak-anak ni?
Para fuqaha’ telah menyenaraikan syarat-syarat yang mewajibkan seseorang mengeluarkan zakat daripada hartanya. Antaranya :
Beragama Islam, tidak wajib ke atas orang kafir
Merdeka,- bukan hamba.
Pemilikan yang penuh. Tidak wajib ke atas harta yang terhalang dan tidak miliki pemilikan penuh (seperti duit akaun 1 KWSP)
Cukup nisab, iaitu kadar tertentu bagi harta tertentu yang diwajibkan zakat
Sempurna haul, - cukup tempoh yang menjadikan harta yang disimpan wajib untuk dikeluarkan zakat.
Jika dilihat pada syarat wajib zakat di atas, tiada syarat baligh dan berakal seperti kebiasaannya yang ada pada ibadat-ibadat wajib yang lain seperti solat dan puasa.
Jadi, duit raya anak ni, kalau dah cukup nisab dan haul, barulah kena zakat.
Contohnya, duit raya tahun ini RM 500. Tak cukup nisab. Tapi bila dicampur dengan duit simpanan lain yang ada, ada RM 22 ribu. Dah cukup nisab dah tu. Tapi masih tak kena zakat sebab belum cukup haul! RM 22 ribu itu mestilah kekal disimpan cukup setahun hijri barulah kena zakat 2.5%.
Katakanlah belum cukup setahun, kita guna duit anak itu untuk beri barang keperluan, tinggal RM 20 ribu sahaja. Maka tetap tak kena zakat walaupun cukup haul sebab nisab minimum –lebih kurang RM 21 ribu- tidak kekal selama satu tahun.
Begitulah sedikit sebanyak hukum hakam berkaitan duit raya anak ni. Ada apa-apa lagi yang anda nak tahu? Boleh Tanya saya di message ini. Kalau ada yang saya rasa relevan dan perlu diulas, saya akan terangkan dalam tulisan akan datang.
Penulisan minggu depan InsyaAllah berkisar STRATEGI PENGURUSAN DUIT RAYA ANAK.