(4/2025) Hukum Cashback: Halal atau Haram?
Cashback: Bonus Menguntungkan atau Transaksi yang Perlu Dicermati?
Dalam era digital masa kini, tawaran "cashback" sering kali menjadi strategi pemasaran yang digunakan oleh perniagaan untuk menarik pelanggan. Namun, apakah sebenarnya "cashback" dari perspektif Syariah?
Apa Itu Cashback?
Cashback merujuk kepada pengembalian sebahagian wang kepada pelanggan selepas mereka melakukan pembelian. Sebagai contoh, setelah membeli sesuatu dengan harga tertentu, pelanggan mungkin menerima kembali sejumlah wang atau kredit yang boleh digunakan untuk pembelian seterusnya.
Cashback boleh diberikan oleh penjual yang sama ATAU oleh pihak ketiga yang lain selain daripada penjual. Contohnya, pihak Bank memberikan cashback kepada pelanggan yang membeli produk daripada penjual lain menggunakan kad kredit yang dikeluarkan oleh bank tersebut.
Dalam Islam, setiap transaksi mesti bebas daripada unsur riba (faedah), gharar (ketidakpastian), dan penipuan. Oleh itu, hukum "cashback" bergantung kepada bagaimana ia dilaksanakan:
Dibolehkan:
Jika "cashback" dianggap sebagai hadiah atau diskaun tanpa sebarang syarat yang menyalahi hukum Syariah, sama ada diberikan oleh penjual yang sama ATAU oleh pihak ketiga yang lain selain daripada penjual. Sebagai contoh, selepas pembelian, pelanggan menerima sejumlah wang atau kredit atau kupon sebagai tanda penghargaan.
Tidak Dibolehkan:
Jika "cashback" disertai dengan syarat yang mengandungi unsur penipuan atau ketidakpastian. Contohnya, menawarkan dua harga yang berbeza tanpa penetapan yang jelas kepada pembeli.
Jika “cashback” yang diterima ialah hasil dari pembelian atau transaksi tidak patuh Syariah, seperti pembelian arak.
Jika “cashback” yang diterima ialah hasil daripada menggunakan metod pembayaran yang tidak patuh Syariah seperti menggunakan kad kredit konvensional.
Kesimpulan: Sebagai umat Islam, adalah penting untuk memastikan setiap transaksi yang kita lakukan mematuhi prinsip-prinsip syariah. Sebelum memanfaatkan tawaran "cashback", pastikan ia bebas daripada unsur riba, gharar, dan penipuan. Sentiasa berhati-hati dan bijak dalam membuat keputusan kewangan.
HADIS MINGGU INI
تَهَادَوْا تَحَابُّوا
Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.”
Riwayat al-Baihaqi (6/169)
FATWA MINGGU INI: HUKUM MENAWARKAN HADIAH BAGI SESUATU PEMBELIAN
Soalan
Assalamualaikum. Saya nak tanya satu soalan. Sekiranya saya nak buat jualan + hadiah boleh tak. Contoh, Pembeli yang ke 100 akan dapat hadiah laptop. Pembeli ke 1000 akan dapat hadiah PC game. Boleh tak saya buat konsep jualan macam tu? Mohon pencerahan.
Jawapan Ringkas
Konsep jualan yang sedemikian adalah konsep yang dibenarkan syarak selagi cukup syarat jual beli yang dinyatakan serta bebas daripada unsur-unsur penipuan, manipulasi dan sebagainya. Ini adalah kerana hukum asal berkaitan jual beli adalah harus selagi tidak melibatkan unsur-unsur yang diharamkan syarak. Konsep yang dinyatakan tersebut sebenarnya adalah salah satu bentuk pemasaran yang biasa digunakan oleh peniaga-peniaga untuk menarik lebih ramai pelanggan untuk membeli daripadanya. Tambahan lagi, konsep tersebut adalah merupakan konsep pemberian hadiah daripada penjual kepada pembeli tertentu yang tidak mempunyai unsur judi dan unsur-unsur lain yang diharamkan.
Rujukan: Irsyad Hukum Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan
TIPS KEWANGAN MINGGU INI: Cashback strategi pemasaran yang bagus?
Beberapa fakta menarik:
✅ Lebih separuh pembeli (53%) kata cashback adalah pilihan terbaik berbanding kupon diskaun & keahlian eksklusif! (Sumber: Statista)
✅ Pasaran cashback global bernilai $8 bilion - ya, industri ni bukan kecil-kecil anak! (Sumber: WeCanTrack)
✅ Pembeli berbelanja 18% lebih banyak bila shopping melalui portal cashback. Ada logik, sebab lagi banyak belanja, lagi banyak dapat balik! (Sumber: WeCanTrack)
Kenapa Cashback Menjadi Pilihan?
Berbanding dengan diskaun terus, cashback ni ada satu ‘feel’ yang unik - rasa macam dapat duit free! Biasanya, kita boleh kumpul dan guna semula untuk pembelian akan datang. Kiranya, macam simpan duit sambil shopping. Best kan? 😍
Tapi, Ada Kekurangannya Juga…
Bukan semua orang boleh sabar nak tunggu cashback masuk akaun. Kalau jenis nak jimat sekarang juga, mungkin diskaun lebih sesuai. Lagi satu, kalau proses nak claim cashback leceh sangat, memang boleh spoil mood.
Kesimpulan?
Kalau jenis suka rancang perbelanjaan dan kumpul “rewards’, cashback boleh jadi pilihan bijak. Kalau suka penjimatan segera, teruskan dengan diskaun. Dua-dua ada kelebihan masing-masing! 😎
Apa pendapat anda? Kongsikan pengalaman di ruangan komen…
Boleh terangkan dengan lebih details atau mungkin boleh berikan contoh untuk ayat ni:
"Jika "cashback" disertai dengan syarat yang mengandungi unsur penipuan atau ketidakpastian. Contohnya, menawarkan dua harga yang berbeza tanpa penetapan yang jelas kepada pembeli."
Syukron ya sidna Ustaz. Doakan saya dapat ikuti jejak langkah antum. Sekarang di semester terakhir ambil Master di INCEIF University 😍🤲🏼