Dalam bahasa melayu, perkataan pinjam boleh digunakan sama ada merujuk kepada pinjaman aset fizikal seperti kereta, buku, atau juga untuk pinjaman wang.
Tetapi dalam bahasa arab, kedua-dua ini menggunakan perkataan berbeza.
Sekiranya pinjaman itu berkaitan dengan harta fizikal seperti kereta, terma yang digunakan ialah إعارة (ia`rah).
Sekiranya pinjaman itu adalah untuk meminjam wang, terma yang digunakan ialah قرض (Qard).
Sudah tentu InsyaAllah, kalau kita memberikan sahabat atau siapa-siapa kenalan kita meminjam kereta, kita akan beroleh pahala dengan amalan tersebut.
Tapi, bagaimana pula kalau kita bagi pinjam duit? Pinjam RM 100? Pinjam RM 1000? Diberi ganjaran tak?
Jawapannya: SUDAH TENTU DAPAT PAHALA JUGA!
Ini adalah kerana wang yang diberikan tersebut juga membantu dan meringankan beban sahabat yang meminjam wang tersebut. Allah juga mengiktiraf “opportunity lost” yang ditanggung oleh pemberi pinjam kerana memberikan wang tersebut kepada pihak lain tanpa apa-apa balasan.
Ini juga yang disebut sebagai قرض الحسن (Qard al-Hasan).
HADIS MINGGU INI
عن ابن مسعود رضي الله عنه قال: ما من مسلم يقرض مسلماً قرضاً مرتين إلا كان كصدقة مرة
Daripada Ibnu Mas’ud r.a., beliau berkata: "Tidaklah seorang Muslim memberi pinjaman kepada seorang Muslim sebanyak dua kali, melainkan ia seperti memberikan sedekah sekali."
(Sunan Ibn Majah)
FATWA MINGGU INI
Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Dar Al-Ifta Mesir, ganjaran untuk memberikan pinjaman tanpa faedah terikat dengan keperluan penerima. Jika pinjaman yang besar dapat membantu seseorang yang memerlukan untuk memulakan projek dan menjadi mandiri, ia dianggap lebih memberi pahala yang besar daripada memberikan pinjaman kecil yang mungkin tidak memenuhi keperluan penerima sepenuhnya. (Sumber)
TIPS KEWANGAN MINGGU INI: Perbezaan Antara Hutang Baik dan Hutang Jahat
1. Hutang Baik
Hutang baik ialah pinjaman yang digunakan untuk tujuan yang boleh memberikan pulangan nilai atau manfaat jangka panjang. Ia adalah hutang yang membantu meningkatkan aset atau keupayaan seseorang untuk menjana pendapatan. Contohnya:
Pendidikan: Membiayai pengajian tinggi untuk meningkatkan kemahiran dan peluang kerjaya.
Pelaburan hartanah: Membeli rumah yang nilainya berpotensi meningkat dari masa ke masa.
Perniagaan: Modal untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan yang menjanjikan keuntungan.
Hutang baik biasanya dirancang dengan teliti, disertakan dengan kemampuan pembayaran balik, dan memberi kesan positif kepada kewangan individu.
2. Hutang Jahat
Hutang jahat pula merujuk kepada pinjaman yang digunakan untuk tujuan yang tidak memberi nilai tambah kepada kewangan atau gaya hidup seseorang. Contohnya:
Perbelanjaan mewah: Membeli barangan seperti gajet terkini, pakaian berjenama, atau percutian mewah yang tidak mampu dibayar secara tunai.
Kad kredit: Hutang kad kredit yang tidak dilangsaikan sepenuhnya setiap bulan, terutama apabila ia digunakan untuk perbelanjaan harian yang tidak perlu.
Hutang jahat membawa risiko beban kewangan jika tidak diurus dengan bijak. Ia boleh menyebabkan tekanan kewangan dan menyukarkan pencapaian matlamat kewangan jangka panjang.
3. Membezakan Antara Kedua-duanya
Tujuan: Hutang baik bertujuan untuk meningkatkan nilai atau keupayaan kewangan, manakala hutang jahat hanya memenuhi kehendak atau keperluan sementara.
Manfaat jangka panjang: Hutang baik memberikan pulangan atau manfaat jangka panjang, sedangkan hutang jahat biasanya membawa beban kewangan berpanjangan.
Kesimpulan
Mengambil hutang adalah perkara biasa, tetapi keputusan untuk berhutang mesti dibuat dengan bijak. Pastikan anda hanya mengambil hutang yang mampu memberi manfaat jangka panjang dan elakkan hutang yang membebankan kewangan anda. Dengan pengurusan hutang yang baik, anda boleh mencapai kestabilan dan kebebasan kewangan.