(1/2025): HARAM AMBIL KEUNTUNGAN LEBIH 100%???
Apa paramater Syariah dalam penentuan keuntungan?
Adakah benar prinsip Syariah melarang peniaga mengambil keuntungan melebihi daripada 100%?
Contoh kalau modal barangan ialah RM 50, harga jualan boleh dijual tidak boleh melebihi RM 100?
Jawapannya: TIDAK BENAR!
Islam tidak menetapkan sebarang had dalam penentuan margin keuntungan peniaga.
Secara asasnya, berapa banyak harga jualan adalah berdasarkan persetujuan antara penjual & pembeli.
Yang Islam larang ialah peniaga mengambil keuntungan dengan cara menipu atau zalim.
Tipu bagaimana? Contoh, mempromosikan barang jualan dengan ciri-ciri tertentu, sedangkan ciri-ciri itu tidak wujud.
Zalim bagaimana? Contoh, peniaga yang mengamalkan ‘ihtikar’. Imam al-Ghazali menyatakan bahawa monopoli barang (al-ihtikar) adalah: “Penjual barangan menyimpan dan menyorok barangan (kerana) menunggu harga dinaikan.” - contohnya barang keperluan harian seperti gula, beras.
HADIS MINGGU INI
إِنَّ التُّجَّارَ يُبْعَثُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فُجَّارًا إِلاَّ مَنِ اتَّقَى اللَّهَ وَبَرَّ وَصَدَقَ
"Sesungguhnya para pedagang akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan berdosa, kecuali orang yang bertakwa, jujur, dan benar dalam perniagaannya."
Rujukan: Sunan At-Tirmizi, Hadis No. 1210
FATWA MINGGU INI
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-79, dinyatakan bahawa:
"Kadar keuntungan yang diambil hendaklah munasabah, tidak bersifat zalim, dan sesuai dengan prinsip keadilan dalam Islam. Peniaga juga wajib mengelakkan unsur riba, gharar (ketidakpastian), dan penipuan dalam transaksi."
TIPS KEWANGAN MINGGU INI: Perbezaan Untung Kasar (Gross Margin) dengan Untung Bersih (Net Margin)
Para pembaca di kalangan usahawan pasti sudah faham perkara ini.
Untung Kasar:
Definisi: Perbezaan antara hasil jualan dan kos barang yang dijual (Cost of Goods Sold, COGS). Ia menunjukkan keuntungan yang diperoleh sebelum mengambil kira kos operasi dan perbelanjaan lain.
Formula:
Untung Kasar=Hasil Jualan−Kos Barang Dijual
Contoh: Jika sebuah kedai menjual 100 unit barang pada harga RM50 setiap satu, dan kos untuk membeli setiap unit adalah RM30:
Untung Kasar= (100×RM50)−(100×RM30)=RM5,000−RM3,000=RM2,000
Untung Bersih:
Definisi: Jumlah keuntungan selepas semua kos dan perbelanjaan operasi, cukai, dan faedah telah ditolak daripada untung kasar. Ini menunjukkan keuntungan sebenar yang diperoleh syarikat.
Formula: Untung Bersih=Untung Kasar−Kos Operasi−Cukai
Contoh: Berdasarkan contoh sebelumnya, jika kos operasi (gaji pekerja, sewa kedai, utiliti) adalah RM1,000 dan cukai adalah RM200:
Untung Bersih= RM2,000−RM1,000−RM200=RM800
Kesimpulan:
Untung kasar hanya mengambil kira kos langsung pembuatan atau pembelian barang.
Untung bersih memberikan gambaran sebenar keuntungan selepas semua kos lain diambil kira.
Perbezaan ini penting kerana ia membantu perniagaan memahami prestasi operasi (untung kasar) dan keuntungan keseluruhan (untung bersih).